• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Berusaha Ubah Minda Negatif Ibu Bapa Terhadap Vaksin Sempena Ramadan

KUALA TERENGGANU, 3 April-Kerajaan negeri berusaha untuk mengubah minda ibu bapa terhadap vaksin kanak-kanak dengan memperhebatkan kempen kesedaran sepanjang Ramadan ini termasuk melalui slot khas tazkirah di masjid dan surau.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini kerana Terengganu masih berada di kedudukan kedua tercorot dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak mula dilaksanakan Februari lepas.

Katanya, sebelum ini kempen telah digerakkan di peringkat kerajaan negeri termasuk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kuliah Maghrib mengenai kepentingan vaksin ini namun masyarakat masih tidak memiliki tahap kesedaran yang tinggi.

"Setakat Jumaat, hanya 12.4 peratus (22,240 orang) daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima suntikan dos pertama.

"Ini kerana mitos yang telah mempengaruhi ibu bapa yang tersebar melalui media sosial sedangkan di Terengganu tiada lagi terdapat kesan sampingan serius dilaporkan berlaku terhadap kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin,"ujarnya,

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kesihan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.

Katanya, walaupun berhadapan kesukaran untuk mengubah pemikiran ibu bapa terhadap vaksin namum kerajaan akan terus berusaha menggunakan pendekatan berhemah dalam menyantuni golongan terbabit.

"Kita berdoa agar ibu bapa ini terbuka hati mereka kerana dengan fasa peralihan ke endemik sekarang, kerana apabila tiada lagi sekatan atau peraturan ketat untuk majlis sosial yang berisiko meningkatkan jangkitan maka dengan pengambilan vaksin ia akan dapat memberikan perlindungan kesihatan kepada anak masing-masing,"katanya.