• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Besut Catat 10 Kematian Akibat Covid -19

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Daerah Besut kini mencatatkan lebih separuh daripada angka keseluruhan kematian di Terengganu selepas dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tersebut menjadikan jumlah maut dari daerah itu kini seramai 10 orang daripada  17 orang di seluruh negeri sejak tahun lalu. 

Katanya, kes kematian terbaharu membabitkan warga emas lelaki berusia 71 tahun dari Kampung Pelagat 3 di samping wanita berumur 55 tahun dari Kampung Bukit Tumbuh. 

"Daripada 11 kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tujuh merupakan warga Besut.

"Setiap kematian akibat Covid 19 sangat menyayat hati apabila berada di Hospital atau ICU keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Bila meninggal, juga kesorangan kerana yang menguruskan jenazah adalah pihak lain bukan ahli keluarga. 

"Ahli keluarga hanya mampu melihat dari jauh atau mereka berada di Pusat Kuarantin,"katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook. 

Tambahnya lagi, data harian kes Covid 19 adalah benar termasuk data harian kematian malah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga benar dalam mencegah jangkitan wabak. 

Sehubungan itu, Nor Azimi menuntut orang ramai untuk berikrar kekal duduk di rumah di samping mengehadkan pergerakan dan mengelakkan berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini. 

Katanya, langkah itu penting bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dengan cepat.

"Janganlah kita menjadi punca kemudaratan kepada orang lain," katanya. 


Tag: