• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Besut Siap Siaga Hadapi Banjir

BESUT, 1 November - Besut telah melakukan persediaan dalam menghadapi banjir pada tahun ini setelah daerah itu dijangka menjadi kawasan terawal menghadapi musibah berkenaan berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi.

Pegawai daerah tersebut, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat melibatkan Ahli Jawatankuasanya untuk mengambil keputusan serta tindakan dalam memastikan lokaliti yang biasa menghadapi banjir dapat melakukan persiapan sewajarnya.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan yang baik dengan segala kemudahan serta fasiliti termasuk tandas diperbaiki awal untuk memastikan keselesaan mangsa-mangsa banjir.

"Mengenai bekalan makanan pula kerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah melakukan persiapan awal dalam memastikan keperluan asas berkenaan mencukupi sebagai persediaan menghadapi banjir," ujarnya.

Beliau berkata demikian, selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Perasmian Program Pengindahan Produk-Produk Pelancongan Daerah Besut, di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau berharap, penduduk daerah berkenaan tidak mengambil mudah mengenai bencana berkenaan dengan sentiasa bersedia untuk berpindah segera ke PPS apabila keadaan memerlukan. 

"Terutama yang berada di tepi pantai seperti Kuala Besut dan juga berhampiran sunga-sungai, perlu segera berpindah terutamanya golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), wanita hamil dalam memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya.


Tag: