Bil Hospital Percuma, Terima Kasih Kerajaan Terengganu
MARANG, 5 Mac - Seorang penduduk Kampung Bukit Cempedak pada mulanya runsing memikirkan kos rawatan isterinya yang melalui pembedahan Cyst perlu dibayar, tetapi rupanya percuma untuk wad kelas ketiga.
Rusdi Abdullah yang menetap di Kampung Bukit Cempedak berkata, isterinya yang melakukan pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah terpaksa tinggal dalam wad selama enam hari.
"Pada mulanya saya sangka dalam bab pembedahan ni ada jugalah kena bayaran, Alhamdulillah, setakat ni tidak dikenakan apa-apa bayaran.
"Saya dengar kalau kerajaan Terengganu tak tanggung, mungkin kena dalam RM200 lebih, tapi oleh kerana kerajaan tanggung, semuanya percuma.
"Terima kasih kerajaan Negeri Terengganu kerana prihatin kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Difahamkan, hanya di Terengganu sahaja wad kelas ketiga percuma kerana bayarannya telah ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu berbanding negeri lain yang masih mengenakan bayaran di hospital kerajaan negeri masing-masing.