• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bila Dah Tua Jadi Parti Apa Pula - Abdul Hadi

MARANG, 6 September - "Semua orang muda akan jadi tua. Bila dah tua akan jadi parti apa pula," itu ulasan ringkas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengenai hasrat bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan parti khusus golongan muda.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Muar itu berhak menubuhkan parti baharu yang dikatakan khusus untuk golongan muda selagi ia tidak melanggar undang-undang.

"Kita negara demokrasi, bebas buat parti, Ikut peraturan dia, tak menyalahi undang-undang, buatlah. Relevan atau tidak, boleh pergi jauh atau tidak, saya tidak tahu masa depan. Cuma orang muda bila tua nak jadi parti apa pula," jelasnya bersahaja.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kampung Rusila di sini, petang semalam.

Terdahulu Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.

Kertas cadangan yang mengandungi syor dan saranan tersebut diserahkan kepada Tengku Zafrul.