• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bimbingan Dan Nasihat Ramuan Kejayaan Anak-anak SPM

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Bimbingan nasihat daripada guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan para pelajar berada pada tahap terbaik dan sentiasa fokus ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya pada peperiksaan itu kerana ia menentukan masa hadapan.

“Saya berharap sebagaimana pertemuan di antara guru dan pelajar selepas selesai peperiksaan kertas pertama tadi, saya menasihati mereka supaya kekal bertenang menghadapi peperiksaan dalam suasana COVID-19.

“Apa yang penting, saya katakan tadi ialah mereka (pelajar) mesti fokus kepada persiapan yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pihak media selepas mengadakan pertemuan bersama calon SPM di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZA), Kuala Terengganu, semalam.

Turut bersama, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Asp Mohd Adirra Ramli, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Almeida Mohd dan Pegawai Penyelidik DUN Terengganu, Mohd Khairul Nizam Suhaimi serta Pegawai Khas Speaker DUN Terengganu, Ukasyah Hasan.

Justeru itu, mewakili kerajaan negeri, beliau berdoa dan mengharapkan agar semua calon peperiksaan SPM akan mendapat keputusan terbaik.

“Saya ada bertanya beberapa orang pelajar, apa cita-cita dan apa yang mereka minat, sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang serta melayakkan mereka untuk menyambung ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya katakan kepada mereka, ia satu perancangan yang sangat baik," ujar Dato’ Yahaya.

Sementara itu, Pengetua SMASZA, Azanol Muda berkata, seramai 87 orang pelajar SMASZA menduduki peperiksaan SPM bermula hari pada 22 Februari, baru-baru ini.

Manakala, katanya seramai 10 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memantau calon-calon peperiksaan berkenaan.

“Setakat ini kita (pihak sekolah) mengikuti SOP (prosedur operasi standard) dengan penjarakan fizikal, pelajar kita wajibkan pakai pelitup muka, penjarakan dalam kelas, jika kebiasaanya dalam kelas 30 orang namun sekarang ini hanya memuatkan 15 orang sahaja,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan ini hingga ke akhir penamatnya.

“Walaupun ada kekangan dan halangan serta sikit kepayahan prosedurnya, tetapi jangan jadikan itu halangan. Sebaliknya jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita buktikan bahawa, kita sedia hadapi cabaran itu,” tegasnya.

Di Terengganu, seramai 18,743 calon SPM termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020, di 169 pusat peperiksaan seluruh negeri bermula 22 Februari hingga 25 Mac ini.