• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Bina Kekuatan Dan Ukhuwah Melalui Sukan

Aktiviti sukan membina kekuatan fizikal dan mental anak-anak.
Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN, 21 Mac - Bersukan merupakan satu aktiviti lapangan yang boleh membina jaringan ukhuwah Islamiyah selain membentuk kekuatan fizikal dan mental.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, masyarakat perlu menjadikan aktiviti sukan sebagai amalan seharian kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kecergasan rohani, malah kekuatan jasmani.

"Hari ini, kita berdepan dengan cabaran yang kian meningkat dari semasa ke semasa, sudah pasti persiapan diri perlu dirancang lebih awal untuk menghadapi ujian hidup yang mendatang," katanya ketika merasmikan Program Sukan Tahunan Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa Kemaman (SRIDTK) ke-25 di padang sekolah berkenaan, semalam.

Saiful Azmi saran jadikan sukan amalan harian.
Program tersebut turut dihadiri Guru Besar SRIDTK, Zahari Draman serta ibu bapa yang menyaksikan pelbagai aktiviti berlangsung untuk anak-anak mereka.

Dalam ucapannya, Saiful Azmi juga menyeru semua pihak supaya melibatkan diri dalam membantu perkembangan anak-anak secara menyeluruh.

"Kalau kita (ibu bapa) hendak mempersiapkan anak-anak untuk menjadi seorang atlet, maka komitmen yang tinggi perlu diberikan sepanjang proses latihan dan pemerkasaan bakat mereka.

"Namun begitu, murid-murid juga perlu didedahkan dengan pembelajaran akademik dan akhlak supaya kejayaan dalam bidang sukan dikecapi bersama nilai-nilai Islam yang dipupuk sebagai benteng diri," katanya.




Tag: