• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bomba Kuala Berang Pujuk Ibu Muda Enggan Pindah

HULU TERENGGANU, 20 Disember -  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengambil masa hampir setengah jam memujuk seorang ibu dan tiga anaknya yang terjejas banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya mendapati mereka enggan meninggalkan kediaman dengan alasan rumah tidak dinaiki air dan belum melakukan sebarang persiapan untuk berpindah.

Katanya, beliau bimbang akan keselamatan penduduk kerana hujan lebat terus melanda daerah ini selain peningkatan paras air yang boleh membahayakan nyawa.

"Kami mendapat panggilan daripada Setiausaha MPKK untuk menghantar makanan kepada keluarga ini kerana terputus bekalan apabila jalan utama mula dinaiki air pada 2 petang.

"Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk mendekati mereka dengan memujuk dan memberi nasihat supaya berpindah ke Kompleks Qaseh OKB bagi mengelakkan kesulitan jika air semakin tinggi," katanya.

Tinjauan bersama anggota bomba di kawasan terbabit mendapati terdapat kawasan rendah yang dinaiki air setinggi 1.5 meter dan boleh membahayakan nyawa penduduk.

 


Tag: