• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Bomba Selamatkan Tiga Beranak Terkandas Banjir

HULU TERENGGANU, 7 Januari - Tiga beranak yang terkandas banjir hampir tiga jam berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian di Kampung Kepah, Telemong, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dikerah ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam.

"Ketika tiba di lokasi, kita dapati sukar untuk menurunkan bot ke dalam sungai untuk menyeberangi ke kawasan pertanian yang terletak di seberang Sungai Telemong melalui Kampung Matang dan terpaksa menukar laluan ke Kampung Kepah.

"Air sungai yang deras agak menyukarkan untuk operasi pada malam ini, dan kita menggunakan sebuah bot untuk membawa keluar kesemua mangsa yang terdiri daripada dua orang dewasa, seorang warga emas  berusia lingkungan 47 hingga 70 tahun," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat pada jam 10.30 malam.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mat Zaid Mamat, 47, berkata dia bersama ibunya, Minah Dollah, 70, serta kakaknya, Rohani Mamat, 54, ke seberang sungai untuk menabur benih padi bagi menggelakkannya rosak.

Katanya, mereka bertiga menyeberangi sungai menggunakan bot fiber seawal jam 2 petang bagi menyiapkan kerja pembenihan tersebut.

"Kerana terlalu asyik bekerja, kami tak sedar hari hampir gelap dan ketika ingin pulang, air sungai makin besar.

"Saya cuba untuk menyeberang menggunakan bot fiber tapi arus deras menyukarkan pergerakan menyebabkan terpaksa berpatah balik lebih-lebih lagi mak tak pandai berenang," ujarnya lagi.

Zaid yang menyedari hari hampir gelap cuba menghubungi kawan serta adiknya bagi mendapatkan bantuan daripada orang kampung untuk mengeluarkan mereka dari lokasi terbabit.

"Nasib baik mak bawa telefonnya dan saya hubungi adik untuk dapatkan bantuan tetapi orang kampung tidak berani untuk menyeberang disebabkan arus laju dan hari sudah gelap.

"Ada orang kampung yang telah menghubungi Bomba untuk selamatkan kami bertiga dan bila lihat bot bomba datang, rasa sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang," katanya.

Tambahnya, mereka bernasib baik kerana tidak kelaparan walaupun terkandas lebih dari dua jam disebabkan bekalan makanan yang dibawa dari rumah.

 

 

 

 


Tag: