KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Hujan lebat yang berterusan melanda Terengganu hingga mengakibatkan banjir luar biasa di kebanyakan tempat adalah disebabkan berlakunya Borneo Vortex atau sistem pusaran angin tekanan rendah serta faktor La Nina.
Pakar Klimatologi di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tanggang, berkata dua faktor berkenaan menyebabkan Terengganu dan Kelantan berdepan situasi berbeza berbanding sebelum ini.
Katanya, berdasarkan tahun terdahulu dua negeri itu hanya menerima jumlah hujan berlebihan di penghujung Monsun Timur Laut (musim tengkujuh).
"Pusaran itu telah menghalang angin bergerak merentasi Khatulistiwa untuk menuju ke Kepulauan Jawa, ia menyebabkan angin bertumpu di Terengganu dan Kelantan, sekali gus menyebabkan penumpuan kelembapan dan hujan di negeri ini," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat fenomena La Nina ketika ini berkekuatan sederhana dan pihaknya mendapati keadaan itu juga menjadi faktor kepada kebarangkalian terjadinya hujan sedemikian pada ketika ini di Pantai Timur.
"Selain itu, suhu tinggi di permukaan Laut China Selatan dan barat Pasifik menyebabkan berlakunya kejadian Borneo Vortex dan menyumbang kepada keragaman cuaca serta meningkatkan curahan hujan," katanya.
Sementara itu, pakar meteorologi Jabatan Geografi Universiti Malaysia (UM), Dr Sheeba Nettukandy Chenoli, berkata keadaan ini sudah dijangka berikutan fenomena La Nina, manakala hujan berterusan pula berlaku akibat luruan sejak Monsun Timur Laut yang bermula sejak Khamis lalu, datang dari Siberia dan bertiup ke sini.
"Ia adalah angin kering yang sejuk. Apabila melalui kawasan Laut China Selatan yang memiliki suhu lebih tinggi, menyebabkan kelembapan terkumpul dan ia di bawa ke Pantai Timur, kita menjangkakan berikutan hal ini hujan akan berterusan sebegini sepanjang Monsun Timur Laut, yang akan berakhir sekitar awal Mac," katanya.