• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bot Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM/Maritim) berikutan dikesan menceroboh perairan negara, semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Suffi Mohd Ramli memaklumkan, bot nelayan asing itu ditahan Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan OP KUDA LAUT di sekitar perairan Terengganu sekitar jam 10 pagi, semalam.

"Bersama-sama kru, kita turut merampas 500 minyak diesel dan hasil laut terdiri daripada ikan dan sotong sebanyak 90 kilogram.

 "Bot nelayan Vietnam itu dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu, pagi ini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Antara bot-bot Vietnam yang telah ditahan oleh APMM Terengganu.

Jelasnya, Maritim Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika peralihan monsun timur laut.

Suffi menyatakan, tindakan tangkapan yang dilaksanakan adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan datang dari warga asing yang menceroboh perairan negara.

"Selaku pihak bertanggungjawab, kita ingin meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan yang lebih pantas," katanya.

Tambahnya, usaha keras Maritim selaras tema Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia iaitu 'Kami Serius Melaksanakannya'.

"Orang awam boleh melayari laman Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai sambutan yang pertama kali diadakan secara maya ini," katanya.

 


Tag: