• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

BPIS Bulan Rejab Didik Tidak “Culas” Solat


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 10 Mac - Bulan Rejab dipilih sebagai satu bulan untuk menerapkan kempen kesedaran kepada seluruh rakyat negeri ini, bukan sahaja menunaikan ibadat tetapi memahami segala isi kandungan daripada kewajipan solat itu supaya tidak “culas” atau susah solat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) itu adalah salah satu bentuk kempen dengan harapan, program-program yang diadakan ini menjadikan rakyat Terengganu meletakkan hati mereka, pergantungan mereka sentiasa kepada Allah SWT.

Katanya, Allah SWT menyebut dalam Al-Quran berulang-ulang kali kalimah ‘Dirikanlah Solat’ atau dengan menyatakan sifat orang yang beriman dalam menunaikan solat, dalam erti kata lain untuk memberitahu kepentingannya.



“Oleh atas asas itulah, kerajaan negeri menetapkan bulan ini bersempena kewajipan as-solat di malam israk dan mikraj namun tidak bermaksud bulan lain tidak adalah penting.

“Mengikut pandangan sebahagian ulama’ walaupun berlakunya kekhilafan tentang tarikh berlakunya peristiwa israk mikraj tetapi mereka bersepakat kewajipan solat berlaku pada malam tersebut,”katanya.

Beliau berkata ketika hadir merasmikan program Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Daerah Marang di Masjid Jamek, Merchang, baru-baru ini.

Turut hadir, Mufti Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Dato’ Dr Zulkifly Muda, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dan Pegawai Agama Daerah Marang, Wan Muhammad Humaidi Wan Ismail.

Menurutnya, kita pilih bulan ini untuk kita sedarkan diri kita, masyarakat, keluarga agar menjaga solat fardhu, menambahkan kelebihan sembahyang dengan memperbetulkan solat, menambahkan amalan solat-solat sunat lain serta kesedaran dan kelebihan dalam solat itu sendiri.

“Saya juga berharap kempen BPIS ini boleh dilakukan di semua kedai, restoran serta wakaf dan MPKK juga boleh minta mengadakan inisiatif melalui pemasangan banner dan poster untuk kerja-kerja dakwah ini,”katanya.


Tag: