• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

BPIS: Usaha Dakwah Kerajaan Sejak 2019

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Ibadat solat merupakan kefardhuan paling asas bagi seorang Muslim yang turut menjadi tanggungjawab pemerintah untuk tidak mengabaikan pensyariatan ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin berkata kempen tahunan itu diatur bagi memupuk kesedaran dan kefahaman ibadat solat yang menjadi penghubung kepada Allah.

“Kerajaan negeri memulakan usaha ini sejak 2019, namun kekangan pandemik membataskan penganjuran pada sesi lalu sehingga tahun ini pelancaran dan program mampu dilaksanakan secara fizikal. 

“Kempen ini turut melibatkan kerjasama di peringkat agensi kerajaan, institusi pendidikan serta masjid bagi meluaskan sasaran dakwah kecintaan masyarakat terhadap solat,” tambahnya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) tahun 2022 peringkat negeri Terengganu di Masjid Kampung Tanjung Sabtu, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Ridzuan Hashim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Buluh Gading.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Mohd Nor berpesan agar semua bahagian masyarakat turut serta dalam memupuk budaya solat berjemaah di masjid atau surau sebagai salah satu memupuk keharmonian sesama masyarakat.

Majlis perasmian itu diadakan seawal jam 4 pagi yang dimulai dengan solat sunat tahajud secara berjemaah.

 


Tag: