• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

BTM Bina Loji Janakuasa Di Teluk Kalong, Tawar 400 Peluang Kerja

KUALA TERENGGANU, 16 Disember - BTM Resources Berhad melalui anak syarikatnya, BTM Biomass Products Sdn Bhd (BTMBP) menandatangani perjanjian pajakan dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk tanah perindustrian daripada PMINT bagi tempoh 30 tahun. 

Pengarah Eksekutif BTM Resources Berhad, Woo Thin Choy berkata, pihaknya membuat pelaburan kira-kira RM150 juta untuk tanah perindustrian seluas 20 ekar di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.

“Tempoh pajakan akan bermula dari bulan Disember 2021 dan tamat pada Disember 2051. BTMBP merancang untuk membina sebuah Loji Janakuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Biojisim (BREPP) di tanah perindustrian ini sepertimana yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).

“Kelulusan tersebut adalah untuk membina dan mengendalikan BREPP yang mempunyai kapasiti eksport tenaga elektrik sebanyak 10 MW kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Perjanjian Pajakan Kawasan Perindustrian Tambahan Teluk Kalong antara PMINT dan BTM Biomass Products Sdn Bhd, di Paya Bunga Hotel, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Menurut beliau, pada 1 Julai 2020, BTMBP telah menerima Sijil Kelulusan Tarif Masukan daripada SEDA. Kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh 21 tahun dan akan bermula pada 23 Januari 2023. BTMBP juga pada 27 Julai 2020 telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan TNB, seperti yang diwartakan dalam Subseksyen 12( 1) Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011. 

“Reputasi mantap Terengganu dalam industri perhutanan dan pembalakan, adalah sebab tapak ini sesuai untuk pembinaan sebuah loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui biojisim. 

“Loji janakuasa BTMBP dapat mengitar semula sisa kayu, yang biasanya dibuang dari kilang papan dan simpanan perhutanan tempatan, sebagai bahan api untuk penjanaan tenaga elektrik bersih dalam Terengganu,” jelasnya.

Katanya, selepas permulaan operasi, loji kuasa biojisim BTMBP akan menjanakan sebanyak 80 GWh tenaga elektrik bersih setahun dan membantu meneutralkan 57,000 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) setahun. 

“Penggunaan biojisim sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui akan mengurangkan kebergantungan negara Malaysia terhadap bahan api fosil, menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2 ke atmosfera dan mengurangkan kesan rumah hijau.

“Kami percaya bahawa inisiatif bersama PMINT ini akan menyumbang kepada kira-kira 400 peluang kerja dan peningkatan kemahiran untuk warga tempatan Terengganu melalui operasi loji janakuasa biojisim BTM. Kami berharap pembinaan loji kuasa biojisim BTM juga akan menarik lebih ramai pelabur untuk mengembangkan perniagaannya kepada Kawasan Perindustrian Teluk Kalong,” ujarnya.