• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Buang Sikap Tidak Ambil Peduli-Maliaman

HULU TERENGGANU, 16 September – Masyarakat perlu membuang sikap tidak ambil peduli terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka bagi bersama-sama menangani isu penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda masa kini.

Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, sikap enggan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda berdekatan dengan tempat tinggal mereka adalah tidak wajar.

“Janganlah malu untuk melaporkan penagihan dadah kerana ia dapat mengelak mereka terjebak dengan lebih teruk.

"Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka dan melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang terbabit dengan dadah.Kita ketepikan masalah dengan jiran sekiranya kita mempunyai tanggungjawab untuk membanteras dadah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Institusi Keluarga Bebas Dadah anjuran AADK bersama komuniti Kampung Pela., hari ini.

Tambahnya, kesan penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Menurut beliau lagi, kerjasama erat daripada ibu bapa serta pihak sekolah termasuk masyarakat adalah amat penting bagi membanteras gejala penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan remaja.

Justeru itu katanya, AADK dan JKPD  mengambil langkah proaktif bagi menangani isu itu dengan melancarkan beberapa program yang menjurus kepada golongan sasar berkenaan.

 “Melalui setiap program yang dilaksanakan, kita telah melakukan kajian dan menerusi usaha itu, kita dapat mengetahui masalah yang berlaku di peringkat komuniti seterusnya mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.

 “Saya yakin dan percaya agensi seperti AADK  berupaya menangani isu terbabit di peringkat awal lagi sekiranya sikap ambil peduli dipraktikkan didalam masyarakat sebelum  ia menjadi lebih parah,” ujarnya.