• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bukan Islam Perlu Fahami Konsep Ibadat Korban

Dr Azman (kiri) menziarahi sebuah rumah yang dilanda ribut di sekitar kawasan DUN Jabi baru-baru ini.


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 13 Ogos - Orang bukan Islam tidak perlu pertikai cara penyembelihan korban kerana kaedahnya paling sesuai dan saintifik untuk mematikan binatang ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sepatutnya orang bukan Islam persoalkan bagaimana yang dimakan mereka dimatikan.

"Bila nak makan daging, memang haiwan perlu dimatikan. Sembelihan ialah cara mematikan haiwan yang paling tertib dan berhemah sekali. Ia disahkan secara saintifik.

"Awak pun makan daging. Ada pernah tanya bagaimana haiwan yang aku makan dagingnya ini dimatikan. Tak munasabah makan (binatang) hidup-hidup," katanya dalam satu kenyataan  di status Facebook beliau semalam.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, mempertikai cara penyembelihan binatang ibadah korban sempena ibadat haji adalah tidak wajar kerana perbuatan itu bertujuan mengikis sifat bakhil dan berkongsi nikmat rezeki di kalangan umat Islam bukan bertujuan menzalimi binatang.

Katanya, tidak akan timbul pertikaian di kalangan orang bukan Islam sekiranya mereka  memahami mesej 'pengorbanan' dan penyembelihan itu dengan sebaiknya.

"Kenapa perlu pertikai hak orang Islam untuk beribadat. Menyembelih binatang ternakan untuk diberi makan dagingnya kepada orang ramai terutamanya orang miskin dan fakir adalah suatu ibadat bagi kami.

"Urusan ibadat ialah soal agama kami. Kalau tak faham dan nak tahu, kami sedia menjelaskan. Mudah-mudahan kamu dapat petunjuk.

"Tapi kalau nak pertikai, awak perlu sedar di bumi mana awak sedang berpijak sekarang," tegasnya.


Tag: