• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Bukan Sebab Pembalakan, Tapi Tanah Runtuh' - Penduduk

HULU TERENGGANU, 2 Mac - 'Bukan pembalakan, tapi berlaku tanah runtuh," itu respon ringkas penduduk di Kampung Belukar Bukit, Mamat Ali, ketika ditanya mengenai dakwaan songsang segelintir pihak berhubung punca banjir teruk di kawasan terbabit.

Mamat, 69, berkata, dia melihat dengan matanya sendiri bagaimana kampung yang didiami sejak kecil itu ditenggelami banjir lumpur dan longgokan batang pokok.

Rumah Mamat terletak betul-betul di hadapan limpahan banjir  bersama longgokan kayu.

Katanya, sebelum berlaku banjir, hujan turun dengan lebat tanpa henti dan tidak lama kemudian dia terkejut limpahan air bersama kayu berada 300 meter di hadapan rumahnya.

"Rumah saya juga turut terjejas, tapi tidak terlalu teruk dan saya serta keluarga masih selamat.

"Ini bencana alam, semalam sudah ada pihak meninjau seluruh kawasan ini menggunakan dron, banyak tempat berlaku tanah runtuh bersekali dengan pokok.

"Pembalakan tiada di sini, lori angkut balak dan laluan lori balak pun tiada, kayu yang hanyut adalah kayu pokok daripada tanah runtuh," katanya.

Zakaria berkata, kayu-kayu itu langsung tidak berkait dengan aktiviti pembalakan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di sana, Zakaria Zainal, 58, berkata malam sebelum tragedi itu berlaku ketika hujan lebat dia mendengar bunyi seakan letupan.

"Pada mulanya saya tidak pasti apa yang berlaku, kemudian pada keesokan harinya baru saya pasti yang bunyi itu adalah pergerakan tanah (tanah runtuh) selepas melihat air banjir membawa pokok-pokok.

"Kayu-kayu yang berlonggok ini sebab tanah runtuh di kawasan atas bukit, tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan, saya bekerja sebagai pekebun, saya cukup tahu apa yang berlaku

"Hujan lebat beserta angin kencang dalam tempoh lama menyebabkan tanah runtuh bersama dengan pokok, kayu hanyut itu masih ada akar, kejadian di luar jangkaan kami," tegasnya.

Nor Hasima.

Bagi Nor Hasima Mamat, 28, pula sependapat dengan Zakaria, katanya, banyak bukit yang masih dipenuhi pokok, telah runtuh.

"Kita boleh tengok di sekitar sini, ada 'merah-merah' di kawasan bukit, itu adalah kawasan tanah runtuh

"Ini musibah paling dahsyat kami alami sejak tinggal di sini, namun alhamdulillah kami semua selamat," jelasnya.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan sisa kayu memenuhi Kampung Belukar Bukit dan ia diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan ia berpunca daripada kes pembalakan.

Penduduk kampung menunjukkan kawasan merah yang merupakan lokasi tanah runtuh.

 


Tag: