lightning-solid
Berita :
Bukit Bauk Bakal Dijadikan Tempat Rekreasi, RNR Awam dan Sukan Lasak
Bukit Bauk Bakal Dijadikan Tempat Rekreasi, RNR Awam dan Sukan Lasak
Amiirullah Mansor
28 Jan 26
112

DUNGUN, 28 Januari — Kawasan Bukit Bauk di sini bakal dibangunkan sebagai pusat rekreasi, rehat dan rawat (RNR) awam, pendidikan alam sekitar serta sukan lasak bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan menarik kedatangan pengunjung luar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, pembangunan tersebut bertujuan memanfaatkan kawasan hutan bandar yang dikurniakan Allah SWT agar dapat digunakan secara berfaedah, terancang dan berterusan.

Menurut beliau, pelbagai sukan dan aktiviti lasak akan diperkenalkan di kawasan berkenaan antaranya ATV, paragliding, microlite, flying fox serta aktiviti survival yang melibatkan golongan remaja dan belia.
 
“Hasrat saya mudah saja, saya nak Bukit Bauk ini jadi kawasan yang hidup dengan aktiviti, bukan sekadar hutan yang orang lalu tanpa singgah.
 
“Kita bukan hanya mahu menjadikannya sebagai tempat rekreasi, tetapi juga sebagai medan pendidikan dan pembinaan jati diri untuk anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem XPDC Jiwa dan Alam di Camp Site, Bukit Bauk, Dungun. 
 

615476893_1433197561502226_603770955712510211_n.jpg 753.39 KB

Beliau berkata, kertas kerja bagi membangunkan Kids Park dan kawasan pendidikan alam sekitar telah dibentangkan dan kini berada dalam proses kelulusan.

“Kita juga merancang untuk membina trek berjalan kaki atau joging yang disertakan dengan pengenalan sejarah para nabi serta maklumat mengenai pokok dan tumbuh-tumbuhan supaya masyarakat boleh belajar sambil berjalan.

“Aktiviti ini bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi satu bentuk pendidikan yang menggabungkan ilmu, alam dan kesihatan fizikal,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kemudahan awam, beliau berkata pihaknya merancang untuk menyediakan Riders Station sebagai tempat rehat kepada penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut.

Selain itu, sebuah surau lelaki dan perempuan akan dibangunkan semula bagi memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menunaikan solat, manakala sebuah dewan terbuka turut dicadangkan untuk kegunaan program masyarakat dan aktiviti komuniti.

“Kita juga bercadang menyediakan kawasan caravan dan motorhome park lengkap dengan bekalan air dan elektrik supaya pelancong serta keluarga yang singgah dapat berehat dengan selesa,” jelasnya.

Tambah beliau, apabila semua perancangan itu siap kelak, Bukit Bauk bukan sahaja akan menjadi pusat rekreasi, malah berperanan sebagai pusat pertemuan masyarakat, tempat rehat musafir serta tarikan baharu kepada pengunjung luar.

“Kita bukan sekadar bina kemudahan, tetapi kita bina suasana hidup yang sihat, tenang dan bermanfaat untuk semua.

“Insya-Allah, semua perancangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Yang penting, kita mulakan dengan niat untuk memanfaatkan alam yang Allah kurniakan kepada kita supaya dapat dinikmati bersama oleh generasi hari ini dan akan datang,” katanya.
616465514_1433198531502129_7030827527285175186_n.jpg 691.54 KB

 


Tag :

Artikel Berkaitan