• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bukit Besi Undang Keberkatan Dengan Berselawat

DUNGUN, 30 Disember- Bagi mengundang keberkatan dengan ketibaan tahun baru 2021 Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi akan mengadakan program 'Bukit Besi Berselawat'.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, program tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan setiap kali menjelangnya ketibaan tahun baru.

"Tahun 2021 akan menjadi 'pilot' projek dengan mengundang semua penduduk kampung untuk sama-sama berselawat.

"Program ini akan dimulakan pada waktu pagi, berkebetulan 1 Januari tahun 2021 jatuh pada hari Jumaat, yang mana umat Islam disarankan agar banyakkan berselawat sebagai tanda mencintai Rasulullah SAW, kita pandu masyarakat di ambang tahun baru dengan memperingati Rasulullah dengan sebanyak-sebanyaknya," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media mengulas mengenai program tersebut,hari ini.

Katanya, program berkenaan akan turut diserikan dengan jamuan rakyat.

"Lebih bermakna program ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua (Speaker) DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan juga dengan kehadiran Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sudah pastinya akan menjadi salah satu program yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk," ujarnya.

Selain itu katanya, pada sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Apresiasi.

"Iaitu bagi menghargai 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang selama ini telah berkhidmat dengan cemerlang didalam memastikan setiap agenda serta perancangan dari kerajaan negeri dapat dijayakan dengan baik didalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin.

"Insya Allah pengakhiran program sambutan tahun baru itu, kita akan adakah kuliah maghrib surau dan masjid yang terpilih didalam DUN Bukit Besi dan juga akan diadakan solat hajat agar tahun 2021 lebih mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat, serta memohon keselamatan agar terhindar daripada wabak COVID-19 daripada terus menular," katanya.

Katanya, Prosedur Operasi Standard dengan memakai pelitup muka, penjarakkan fizikal serta mencuci tangan akan dititikberatkan agar majlis tersebut dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya.


Tag: