• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bukit Puteri Dibuka Kembali Akhir Januari Ini

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Bukit Puteri yang kaya dengan catatan sejarah dan lagenda sehingga menjadi antara lokasi produk tarikan pelancongan negeri bakal beraksi kembali akhir Januari ini.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah berkata kerja-kerja naiktaraf Bukit Puteri sedang rancak berjalan bermula pada 17 Oktober 2022  dengan  kos sebanyak RM 230,660.

"Dalam masa terdekat, Insyallah tempat bersejarah ini akan dibuka kepada orang ramai dengan beberapa penambahbaikan.

"Pembaharuan terkini di Bukit Puteri ini adalah pembinaan tangga baru yang lebih selamat dan mesra pelawat, kaunter tiket, pemasangan lampu dan juga naiktaraf landskap," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Tambah beliau, projek naiktaraf ini adalah kerjasama antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu yang menyalurkan peruntukan ke Jabatan Pelancongan Negeri melalui program Pelaksanaan Inisiatif Projek Jaminan Makanan, Pelancongan Serta Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Terengganu.

Bukit Puteri merupakan satu tempat yang penuh bersejarah kerana pernah menjadi kubu dan rebutan semasa Perang Saudara semasa zaman pergolakan Kesultanan Terengganu antara tahun 1931 hingga 1939. 

Antara peninggalan sejarah yang masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini antaranya singgahsana sementara, tempat simpanan bedil dan meriam, genta (loceng besar), meriam beranak, tiang bendera dan rumah api.

Pengunjung  juga dapat melihat keindahan Bandaraya Kuala Terengganu dari atas bukit ini dan sememangnya menggamit pemandangan bagi yang pertama kali melihatnya.