Jalur Gemilang
Berita :
Buku Tak Laku Bukan Bermakna Orang Terengganu Tak Baca Buku
Buku Tak Laku Bukan Bermakna Orang Terengganu Tak Baca Buku
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
63

BESUT, 16 September – Sambutan kurang menggalakkan terhadap jualan buku oleh individu tertentu di Terengganu tidak boleh dijadikan ukuran untuk mendakwa masyarakat negeri itu tidak mempunyai minat terhadap buku.

ADUN Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, dakwaan sedemikian tidak tepat kerana sambutan pembaca banyak bergantung kepada genre dan jenis bahan bacaan yang ditawarkan.

Menurutnya, masyarakat Terengganu mempunyai kecenderungan tersendiri dalam memilih bahan bacaan, termasuk buku berkaitan agama dan fikrah perjuangan Islam.

Beliau berkata, sambutan terhadap program berkaitan buku di negeri itu juga menunjukkan masyarakat Terengganu masih mempunyai minat terhadap budaya membaca.

Riduan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu berkata, karnival buku yang dianjurkan perbadanan berkenaan pada bulan lalu menerima kira-kira 100,000 pengunjung dalam tempoh beberapa hari.

“Tidak tepat. Ia satu prasangka atau prejudis yang cukup berat kerana saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu melihat karnival buku yang kita anjurkan pada bulan lalu dihadiri 100,000 pengunjung.

“Maknanya orang Terengganu obses dengan buku. Secara umumnya kita juga melihat kecemerlangan anak negeri dalam peperiksaan awam. Sejak sedekad lalu, kita melihat pelajar-pelajar Terengganu cemerlang dalam SPM.

“Terengganu dari dahulu ramai orang cerdik. Ilmuwan dari negeri ini juga ramai yang berkhidmat di kampus dan universiti tempatan sebagai pensyarah serta mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Bedah Buku Ngopi Anak Muda: Ulama Dalam Kemerdekaan di NASKEN, semalam.

Riduan berkata, kegagalan sesuatu genre buku menarik perhatian masyarakat Terengganu juga tidak wajar diterjemahkan sebagai kegagalan budaya membaca secara keseluruhan.

Menurutnya, masyarakat mempunyai hak dan kecenderungan sendiri dalam menentukan bahan bacaan yang mahu dibeli serta dibaca.

“Bagi saya apa yang diutarakan individu berkenaan tidak tepat. Kena tahu bahawa orang Terengganu tidak membaca karya picisan, buku-buku murahan dan separa lucah.

“Buktinya di negeri ini banyak kedai buku, festival buku juga kerap diadakan dan mendapat sambutan yang sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, Riduan berkata, perkembangan karya keilmuan Islam turut membuktikan kemampuan anak Terengganu menghasilkan bahan bacaan yang mempunyai nilai keilmuan tinggi.

Beliau mengambil contoh Tafsir Al-Tibyan yang dihasilkan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kitab ini dikira antara yang hebat pada masa kini di Asia Tenggara. Walaupun orang Arab sukar untuk mengiktiraf keilmuan orang Melayu, tetapi orang Terengganu membuktikan mampu mengeluarkan kitab sebagaimana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah pun mengarang 150 buah buku,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan