• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Bulan Penghayatan Ibadah Solat Inisiatif Terengganu Bina Kesatuan Ummah

Mohd Nor menyampaikan penghargaan kepada panel forum sempena BPIS.


HULU TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu meletakkan harapan agar pelaksanaan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu hasil mengambil berat akan tuntutan solat, terutama memakmurkan masjid dengan solat jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan program itu sempena bulan Rejab kerana di bulan berkenaan, berlakunya satu peristiwa besar iaitu Israk Mikraj.

"Dalam peristiwa ini, satu perkara penting telah berlaku iaitu tuntutan kefardhuan solat.

"Kita harap masyarakat akan merasai pentingnya ibadah solat, maka secara langsung mereka akan meninggalkan seketika pasar-pasar dan kerja mereka apabila tibanya waktu solat kerana meletakkan keutamaan solat melebihi kerja dan dunia," katanya kepada jemaah yang hadir.

Solat tuntutan Allah SWT kepada individu dan kerajaan ambil tanggungjawab menghidupkan tuntutan itu.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar menyempurnakan perasmian BPIS Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md. Azahar serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Dalam ucapannya, Mohd Nor sempat menasihatkan rakyat supaya meletakkan matlamat dan hala tuju yang benar dalam kehidupan mereka iaitu mencari redha Allah SWT.

Forum Israk Mikraj serikan majlis.
"Semoga program-program seumpama ini dapat melahirkan insan-insan yang dekat dengan Allah SWT.

"Ibadah solat adalah tuntutan kepada setiap individu dan kerajaan bertanggungjawab menghidupkannya," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.


"Semoga kita dikurniakan hati yang terikat dengan masjid. Ia mengikat kita untuk berjemaah dan mendekati majlis ilmu," katanya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan forum perdana yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Basri Ibrahim dan pendakwah terkemuka, Syed Norhisyam Tuan Padang.

Ia turut dihadiri lebih 1,000 jemaah terdiri daripada pegawai- pegawai kerajaan negeri, penduduk setempat dan pelajar.

BPIS akan dilaksanakan di seluruh Terengganu sepanjang bulan ini bagi menyemarakkan kefahaman dan kecintaan kepada ibadah yang menjadi hubungan utama antara hamba dan Tuhannya.


Tag: