BPIS Ajak Rakyat Hayati Nilai Dalam Sembahyang
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan negeri menganjurkan program bulan penghayatan ibadat solat (BPIS) untuk mengajak rakyat menghayati nilai-nilai yang ada dalam sembahyang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebelum menghayatinya, rakyat mesti mengambil cakna tentang ibadat itu sendiri.
“Pertama, mengetahui tentang sembahyang mengikut Rasulullah S.A.W. dan ajaran para ulama.
“Yang kedua, kita mesti menjaga sembahyang mengikut rukun-rukun dan syaratnya. Menjaga yakni sembahyang pada waktunya. Maknanya kita bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat berjemaah khususnya warga lelaki.
“Yang ketiga, barulah kita memohon rakyat memahami apa yang diajarkan ibadat solat itu sendiri,” ujarnya.
Katanya, Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu akan susun kitab yang kita anggap sebagai asas terhadap ibadat solat ini ialah munyatul musolli, ia banyak membincangkan tentang nilai-nilai sembahyang dan penghujungnya membincangkan tentang pemerintahan dan politik.
“Saya juga bukan hanya mengajak rakyat menghayati malah bekerjasama menghidupkan amar makruf dan nahi munkar ini.
“Di samping peranan kerajaan, masyarakat boleh memberi sumbangan ke masjid-masjid buat program tertentu ataupun dekati anak-anak muda dengan pendekatan tertentu melalui pejabat-pejabat pusat khidmat juga.
“Saya harap agar pusat-pusat khidmat kita bukan sahaja berbincang tentang projek-projek tetapi gunakan untuk menghayati ibadat solat dan pembangunan insan dan jabatan-jabatan mesti cakna kewangan yang ada untuk kita laksanakan kempen ibadat solat,” ujarnya.