• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Burhanuddin Dilantik Pengarah Eksekutif Baharu Terengganu Inc.

KUALA TERENGGANU, 2 November -  Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) bagi menggantikan Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak yang melepaskan jawatan, berkuatkuasa semalam.

Burhanuddin Hilmi, 50 sebelum ini merupakan Ketua Pegawai kewangan Kumpulan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) iaitu sebuah syarikat berteknologi tinggi yang mengeluarkan peralatan serta kelengkapan kapal terbang Airbus dan Boeing dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang korporat dan kewangan termasuk audit dan baik pulih perniagaan serta perancangan strategi perniagaan.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan di beberapa konglomerat Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) selain memiliki pengalaman dalam pelbagai industri termasuk minyak dan gas, perkilangan serta penerbangan.

Seawal kariernya, pemegang Ijazah perniagaan antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu telah menyertai beberapa syarikat kewangan terkemuka antaranya KPMG dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu berkata, kerajaan negeri yakin dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Burhanuddin.

"Beliau akan meneruskan kemampanan dan daya saing Kumpulan Terengganu Inc dalam memperkukuhkan strategi perniagaan anak syarikat kumpulan bagi memanfaatkan pelaburan untuk rakyat," katanya.

 


Tag: