• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Cabaran PdPR Tak Patahkan Semangat Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM

HULU TERENGGANU, 16 Jun – Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, dan mengubah segalanya termasuk kaedah pembelajaran dan pendidikan tidak pernah melemahkan semangat Muhammad Khairul Faiz Othman, 18 sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Mlaysia (SPM) 2021.

Menurutnya, dia tidak pernah  terbayang akan  berada dalam sesi pembelajaran tanpa bersua muka dengan rakan sekelas seperti kebiasaan dan akhirnya pada penghujung tahun perlu menduduki peperiksaan yang terbesar dalam hidup. 

“Sepanjang dua tahun yang mencabar menempuhi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), habis segala usaha dilakukan dan tawakkal sahaja dengan segala apa jua keputusan. 

“Alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhan  dalam menempuhi cabaran tersebut, membuahkan  hasil pada hari ini dengan memperolehi keputusan 11A,"ujarnya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu Pengetua SM Imtiaz YT Kuala Berang, Suzaiki Ali mengumumkan keputusan peperiksaan SPM Pelajar SM Imtiyaz YT Kuala Berang yang memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.19 dengan seramai 63 orang calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut

Turut hadir Bersama, YDP PIBG SM Imtiyaz YT Kuala Berang, Muhyidin Abdul Rashid merangkap Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu.

Bagi Abdul Muiz Mohd Hashim yang turut memperolehi 11A, dia menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada ibubapa dan guru-guru yang banyak membantu dan menyokongnya selama ini. 

“Berkat saya menjaga adab dengan guru selain tidak meninggalkan bacaan Al-Quran, amalan sunat, banyakkan membuat latihan soalan peperiksaan tahun lepas, memohon doa dan memohon restu dari ibu ayah serta guru,"ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang calon SPM yang mendapat 12 A, Nur Syamimi Mohd Nizak berkata kejayaan yang dikurniakan oleh Allah ini adalah hadiah teristimewa buat kedua ibubapa dan guru-guru. 

“Pelbagai ujian terpaksa dihadapi sepanjang tempoh pandemik dan disaat sekolah mengalami banjir yang luar biasa dua hari sebelum peperiksaan SPM sebenar berlangsung sehingga terpaksa berpindah ke pusat alternatif untuk menduduki peperiksaan sangat menguji fizikal dan mental saya serta kawan-kawan.

"Saya sangat bersyukur atas keputusan luar jangka dan ingin melanjutkankan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,"katanya lagi.