Cadangan Wujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Agama Islam Cetuskan Kebimbangan

Pada 12 Februari lalu, Ahli Parlimen Raub, Tuan Chow Yu Hui, mencadangkan dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk urusan agama bukan Islam, kononnya untuk membentuk Malaysia yang lebih inklusif, majmuk dan juga harmoni.

Ini ialah kenyataan lengkapnya menurut Penyata Rasmi Parlimen:

“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua. Satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.

Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati daripada kalangan masyarakat bukan Muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam.

Kerajaan melantik seorang Menteri Hal Ehwal Islam dan seorang Menteri Hal Ehwal Bukan Islam bukan saja dapat memastikan pengurusan agama yang adil, tetapi juga dapat mengukuhkan perpaduan negara serta mengelakkan mana-mana pihak daripada terpinggir.

Kedua-dua Menteri ini juga dapat berkomunikasi secara mendalam mengenai pelbagai isu keagamaan bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak perlu. Langkah ini akan membantu membentuk Malaysia yang lebih inklusif, majmuk dan juga harmoni.”

Cadangan ini telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak dari pelbagai golongan dan aliran yang melihatnya sebagai berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta mengandungi agenda tersirat. 

Malaysia telah sekian lama hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati antara agama. Namun, kebelakangan ini, DAP sering mencetuskan cadangan yang dilihat menggugat keseimbangan sedia ada. Percubaan ini boleh membuka ruang kepada tuntutan yang lebih besar pada masa akan datang.

Dalam hal ini, adalah penting untuk meneliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam hal ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Perkara 11(4) pula membenarkan kawalan terhadap penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. 

Ini menunjukkan bahawa Perlembagaan telah menyediakan mekanisme mencukupi bagi menjaga kepentingan agama di Malaysia. Oleh itu, kewajaran penubuhan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam perlu dipersoalkan.

Tambahan pula, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Abd Aziz, turut menegaskan bahawa Perlembagaan tidak pernah membincangkan pelantikan menteri untuk agama bukan Islam. Sebaliknya, kedudukan Islam jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2), yang memperuntukkan penubuhan institusi Islam. 

Beliau berpandangan bahawa melantik Menteri Hal Ehwal Bukan Islam boleh membawa kepada kesamarataan antara agama (pluralisme), yang bercanggah dengan niat asal Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebenarnya ini bukan kali pertama pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan berunsur sedemikian. Sebagai contoh, pada 11 Jun 2014, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, menyatakan bahawa hak untuk meninggalkan agama harus dihormati, selaras dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Ini petikan kata-katanya: “Saya ingin menegaskan kalau kita semua boleh menghormati peruntukan dalam Perlembagaan kita, semua masalah ini boleh diselesaikan dengan baik dan Perkara 11(1) jelas menyatakan bahawa setiap orang ada hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya… Saya berharap juga orang-orang Islam juga boleh terima peruntukan 11(1) ini yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama itu oleh orang perseorangan dan kalau seseorang itu memang hendak meninggalkan agama itu dan beliau (berusia) lebih daripada 18 tahun, kita mesti menghormati hak yang telah Tuhan berikan kepada seseorang itu dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita ini”.

Pada 28 Disember 2023 pula, Ngeh mencadangkan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Katanya, "Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas.”

Semua ini adalah simptom kepada masalah dalam asas perjuangan DAP. Jika dilihat kepada Matlamat DAP dalam Perlembagaannya ada disebut pengiktirafan DAP ke atas kebebasan beragama sebagai hak asasi. Di dalam Fasal II Perlembagaannya ada disebut DAP “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.”

Namun, jika DAP benar-benar komited terhadap keharmonian negara, ia sepatutnya turut mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Sepatutnya Matlamat DAP dipinda dengan memasukkan sama “Mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan”.

Jika ini tidak dibuat maka cabaran ke atas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan berterusan.

Sekiranya cadangan mewujudkan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam ini diterima, ia boleh membawa kepada persoalan besar dalam masyarakat Islam, termasuk kemungkinan hilangnya keistimewaan Islam dalam pentadbiran negara. Ini boleh membuka ruang kepada fahaman bahawa semua agama adalah sama, seterusnya melemahkan pegangan umat Islam terhadap agama mereka.

Justeru, umat Islam perlu sedar akan kepentingan politik dalam mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Politik adalah alat utama dalam memastikan Islam terus terpelihara di bumi bertuah ini serta menghalang sebarang usaha yang boleh menggugat keharmonian agama di negara ini.

Adli Mohamad adalah seorang penganalisis sosio-politik tempatan


Tag: