• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai

KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ kelihatan di sekitar bandar persisir pantai Kuala Terengganu bermula pada 4.47 petang tadi dan berakhir malam ini.

Menurut laman rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu mempunyai nama unik berdasarkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh.

Katanya, fenomena gerhana itu akan berlaku selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee) dengan jarak 357,309 km.

“Sekitar jam 7.19 malam kemuncak gerhana maksimum boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur,” jelasnya.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di kawasan Drawbridge mendapati peristiwa astrologi yang terakhir berlaku pada tahun 2018 itu kelihatan terang walaupun dikaburi dengan cuaca mendung.

Fenomena Bulan Berdarah di langit Drawbridge Kuala Terengganu

Berdasarkan kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), masyarakat diseru melakukan solat sunat gerhana bulan antara pukul 7.13 malam sehingga 8.52 malam bagi memenuhi tuntutan sunat muakkadah.

Selain solat sunat, antara sunnah ketika fenomena gerhana termasuk beristighfar memohon keampunan Allah, takbir, tasbih, tahmid, sedekah dan memperbanyakkan amalan sunat.