lightning-solid
Berita :
Calon Pengerusi PN?, Ini Jawapan Dr. Sam
Calon Pengerusi PN?, Ini Jawapan Dr. Sam
Noraini Jusoh
12 jam yang lepas
359

KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan spekulasi yang mengaitkannya sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berada di luar pengetahuan kerana beliau bukan ahli mesyuarat kepimpinan gabungan tersebut.

Menurut Naib Presiden PAS itu, sebarang keputusan berkaitan kepimpinan PN hanya akan diketahui selepas dibincangkan dalam mesyuarat rasmi Majlis Tertinggi PN.

“Itu saya tidak pasti kerana saya bukan ahli mesyuarat. Sekiranya perkara itu benar, ia akan diketahui apabila sampai waktu dan ketikanya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menegaskan PAS kekal memberikan komitmen penuh untuk memperkukuhkan PN dan menolak sebarang spekulasi bahawa parti itu berhasrat untuk bergerak secara solo.

Katanya, pendirian tersebut telah dipersetujui di semua peringkat kepimpinan tertinggi PAS yang melihat pengukuhan PN sebagai keutamaan dalam menghadapi realiti politik semasa negara.

“Antara perkara yang paling besar yang kita hendak buat sekarang ini adalah memperkukuhkan PN. Jadi tidak timbul untuk kita hendak bergerak secara solo. Menyedari hakikat realiti politik semasa yang ada dalam negara kita, kita akan memperkuatkan PN,” ujarnya.

Mengulas mengenai konflik kepimpinan yang dikatakan berlaku dalam PN, beliau berkata perkara itu dijangka dapat diselesaikan melalui saluran perbincangan rasmi apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan kelak.

“Insya-Allah apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan, perkara ini dapat diselesaikan. Bila mesyuarat itu akan berlangsung, saya sendiri belum dimaklumkan,” katanya.

Ahmad Samsuri menegaskan bahawa keutamaan PAS pada masa ini adalah memastikan kestabilan dan kesepakatan dalam PN terus diperkukuhkan demi kepentingan rakyat dan negara.



Tag :

Artikel Berkaitan