• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Candat Sotong, Pelita Raya 'Tembusi' Kalendar Utama Pelancongan Negara

KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Tourism Malaysia bersetuju memasukan dua program pelancongan Terengganu iaitu Fiesta Candat Sotong Terengganu dan Program Pelita Raya Terengganu sebagai antara atur cara utama pelancongan negara.

Pengumuman itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan sewaktu sesi penggulungan jawapan Titah Tuanku Agong di Dewan Negara hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, berita berkenaan merupakan khabar baik kepada rakyat Terengganu dan industri pelancongan negeri, sekaligus membuktikan Terengganu tidak pernah lekang dek produk pelancongan yang unik dan menarik.

"Seperti penganjuran Fiesta Candat Sotong Terengganu, ia sentiasa dinanti-nantikan pelancong domestik dan asing. Ia satu konsep pelancongan berasaskan maritim dan mempunyai jenama yang kukuh. Ramai yang datang pada bulan April hingga September ini.

"Di samping itu, program Pelita Raya Terengganu ada tarikan tersendiri dan nostalgia yang pasti menggamit pengunjung. Ia umpama pesta mega cahaya yang diinovasikan yang bukan sahaja memberi satu penjenamaan berganda produk pelancongan tetapi menceritakan suasana sebegitu akan menarik elemen muhibbah dan perpaduan.

Terima kasih kerana mengangkat dua program pelancongan Terengganu sebagai acara tahunan negara," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya, hari ini.


Tag: