• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Capaian Internet Di Terengganu Akan Dipertingkat - KKMM

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk meningkatkan liputan capaian internet yang optimum, terutama 4G di negeri Terengganu. 

Menteri KKMM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi makmal infrastruktur digital sedang mengkaji kawasan-kawasan yang mempunyai impak kepada ekonomi serta penduduk untuk diberi keutamaan penambahbaikan akses jalur lebar. 

“Di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu, kita kena bagi tumpuan lebih, contohnya liputan 4G di Terengganu capaian hanya sekitar 87.7 peratus, 3G pula 95.5 peratus manakala 2G 97.8 peratus. 

“Apa yang kita hendak bincang dan akan perhalusi ialah bagaimana kita hendak optimumkan liputan 4G. Itu melibatkan soal pembinaan menara-menara baharu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan neger, Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, dan beberapa ketua agensi serta jabatan negeri yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, Terengganu kini mempunyai 685 menara telekomunikasi dan ia tidak mencukupi untuk menyediakan liputan terbaik di seluruh negeri.

“Oleh itu, kita memerlukan lebih 400 lagi menara telekomunikasi bagi mengoptimumkan liputan internet di sini, termasuk di pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau peranginan.

“Termasuk yang sedang dibangunkan sekitar 34 menara, semua perkara ini sudah disebut dalam dewan rakyat, namun menjadi kekangan ialah kos yang besar untuk kita laksanakan sekali gus, jadi kita buat berperingkat mengikut keutamaan dan zon,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk melonjakkan industri nasyid ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia merangkumi pelbagai aspek seperti seperti dakwah, pendidikan, produk halal, busana muslimah dan sebagainya.

“Memanglah nasyid itu orang lihat sebagai sebahagian dari muzik, tetapi ia ada dunianya tersendiri yang sangat luas,” katanya.