Berita :
Capaian Internet Setiu Semakin Stabil, Empat Menara Baharu Siap Dibina
Capaian Internet Setiu Semakin Stabil, Empat Menara Baharu Siap Dibina
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
5 jam yang lepas
78


SETIU, 12 Mei – Masalah capaian internet yang sering membelenggu penduduk di beberapa kawasan pedalaman di daerah ini menemui titik penyelesaian apabila siapnya pembinaan empat menara telekomunikasi baharu baru-baru ini.

Kawasan yang terlibat merangkumi Kampung Langkap Baru, Kampung Che Mohid, Kampung Ladang Bari, dan Kampung Banggol. Sebelum ini, lokasi-lokasi tersebut sering berhadapan dengan masalah gangguan talian serta kelajuan internet yang amat rendah, sehingga menimbulkan kesulitan kepada urusan harian penduduk.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata sebelum ini isu capaian internet yang lemah itu sering menjadi keutamaan agenda sepanjang perkhidmatannya.

"Masalah ini antara yang saya perjuangkan dengan membawa isu ini ke Sidang Parlimen, berjumpa dengan pihak MCMC Terengganu serta membawa sendiri mereka turun ke lapangan di kawasan yang talian perlahan untuk melihat keadaan sebenar," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) Negeri Terengganu atas kerjasama erat dalam merealisasikan projek tersebut. Menurut beliau, pemantauan secara terus di lokasi 'tompok hitam' (dead zone) telah membantu pihak berkuasa memahami kesukaran sebenar yang dihadapi rakyat.

Dalam masa terdekat, beliau berkata pihaknya jugamerancang untuk menyenaraikan kesemua pencawang baharu yang telah siap dibina di seluruh daerah Setiu sebagai rujukan dan bukti perkembangan pembangunan infrastruktur digital di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau turut menitipkan pesanan penting kepada komuniti setempat agar bersama-sama menjaga kemudahan awam tersebut daripada ancaman jenayah.

"Kita kena bersma menjaga menara ini daripada perbuatan vandalisme yang sering berlaku dengan pencurian kabel dan lain-lain. Kemudahan ini adalah untuk kepentingan kita bersama," tambah beliau lagi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan