• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

CBL Cabaran Indah Pendakian Terengganu

Keindahan CBL akan jadi tarikan menarik. 
Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 2 Januari - Chemerong Berembun Langsir (CBL) sememangnya menjadi destinasi pilihan para pendaki dalam dan luar negara.

Memiliki ketinggian 3,405 kaki, gunung Berembun turut mempunyai dua air terjun iaitu Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Langsir yang menjadi tarikan peminat sukan lasak itu.

Pengerusi Malim Gunung Daerah Dungun, Mat Amin Serman berkata, lokasi itu sering didatangi oleh pengunjung yang mahu menikmati alam semulajadi dengan cara tersendiri.

“Kebanyakannya terdiri daripada pendaki temapatan. Tetapi, ada juga yang datang dari luar seperti Singapura dan Ireland.

“"Di atas puncak sana memang indah, air terjun akan dapat dilihat seolah-olah langsir dan keindahannya sukar diceritakan seolah-olah berada di alam fantasi.

“Untuk ke sana, memakan masa sekitar lapan jam pendakian. Pengunjung biasanya dibahagikan kepada dua kumpulan kecil terdiri daripada 12 pendaki atau kumpulan besar seramai 60 pendaki.

“Bagaimanapun, kepenatan pasti apabila sampai di puncak yang indah dan diserikan lagi dengan pokok bonsai yang tumbuh di sana,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat Persatuan Malim di Kampung Jongok Batu, baru-baru ini.

Persatuan itu telah ditubuhkan pada tahun 2016 dengan kekuatan 35 malim gunung terdiri daripada anak kampung tersebut yang mahir selok- belok ke puncak Berembun.

Mat Amin memaklumkan, seramai 29 lelaki dan enam perempuan malim gunung menjadi penunjuk arah, selain berperanan memastikan CBL sentiasa bersih dan terjaga.

"Untuk khidmat mereka, sebanyak RM 55 dikenakan untuk seorang pendaki bagi kemudahan, keselamatan dan penyelenggaraan sepanjang pendakian.

Dalam pada itu, pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi,Ghazali Sulaiman yang merasmikan mesyuarat tersebut berkata keindahan CBL akan membantu mempromosikan Bukit Besi, sebagai kawasan pelancongan terkemuka di Malaysia.

"Alhamdulillah, kita ada lokasi yang unik dan terpelihara. Ini membolehkan aktivti pendakian menjadi satu tarikan yang hebat.

"Namun, buat masa sekarang kawasan rekreasi berkenaan ditutup sehingga bulan Mac berikutan cuaca tidak menentu dalam musim tengkujuh ini.

“Langkah ini diambil oleh kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini, kerana risau dengan kemalangan dan insiden 'kepala air'," ujarnya yang turut berharap agar apabila lokasi itu dikunjungi pendaki apabila dibuka nanti.


Tag: