KUALA TERENGGANU, 29 April - Program Nurani Belia : Indahnya Ramadan (Karnival Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Terengganu 2022) bertujuan mengubah persepsi belia negeri ini terhadap bulan Ramadan dan difahami ertinya agar rukun Islam ketiga itu dilakukan dengan penuh kesungguhan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerana itu program yang asalnya dicadangkan dianjurkan di masjid diubah untuk disambut di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya anak muda iaitu di Dataran Awam Batu Burok.
"Hendak menyatakan kepada mereka bahawa bulan ini bukan sekadar untuk 'duduk saja' dan tidur tanpa berbuat apa sehingga waktu puasa berakhir begitu sahaja, sebaliknya bulan ini boleh diisi dan dilakukan dengan pelbagai aktiviti sama ada dalam bentuk keagaaman dengan mendirikan solat Tarawih, mendekatkan diri dengan al-Quran dan juga melakukan kerja-kerja kebajikan.
"Perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin peluang dan kesempatan pada bulan ini untuk melakukan kerja yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat, juga untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan, agar sentiasa sihat dan kekal aktif bukannya dibiarkan ia berlalu begitu sahaja,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut, di sini, pada semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Mengulas lanjut , Wan Sukairi berkata program yang julung-julung kali diadakan di kawasan terbuka dengan penglibatan 700 peserta itu pada asalnya dicadangkan agar dianjurkan di masjid sebagaimana kelaziman kerana antara pengisian programnya adalah khatam al-Quran.
"KIta memilih untuk mengadakannya di tempat yang menjadi tumpuan belia dan beliawanis negeri ini dengan memilih tempat terbuka seperti ini, tempat mereka biasa berada, kita berusaha mendatangkan pengisian agama di sini, serta berbuka puasa bersama-sama.
"KIta murnikan tempat ini dengan laungan bacaan al-Quran yang disampaikan oleh qari jemputan khas iaitu Ustaz Abdul Hadi yang merupakan bekas johan pertandingan al-Quran peringkat negeri, dan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan terdahulu telah ada pertandingan azan, pidato dan hafazan serta operasi mengagihkan Program Dapur Rakyat kepada penduduk sekitar melalui Sukarelawan Terengganu (T-VOLT).
"Kemudian diadakan pengisian tambahan dengan persembahan hiburan 'busking' oleh Sahabat Akustika dan mengadakkan program sembang santai bersama Pencetus Ummah (PU) Rahmat selain itu diadakan hadiah cabutan bertuah semua ini kita adakan khusus untuk belia dan beliawanis bermula jam 2 petang dan berakhir dengan majlis berbuka puasa.
"KIta akan meneruskan program ini di masa akan datang dengan skala yang lebih besar, serta akan ditambah baik untuk dijadikan acara tahunan menjelang Ramadan dalam usaha kerajaan memastikan bulan ini disambut dengan penuh penghayatan dengan matlamat melahirkan insan yang bertakwa bagi memastikan seluruh rakyat sentiasa beroleh keredaan-Nya,"katanya lagi.