• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Coronavirus : Terengganu, Jabatan Kesihatan Pantau Tapak ECRL Dan Pelabuhan

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Terengganu dan Jabatan Kesihatan terus memantau beberapa kawasan terutamanya tempat penginapan pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pelabuhan bagi membendung penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) di negeri itu.

 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, meskipun tiada kes melibatkan virus itu di Terengganu, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil bagi menghilangkan kebimbangan rakyat.
 
“Semua kawasan akan dipantau, termasuklah kemasukan kapal-kapal dari pelabuhan Kerteh dan Kemaman, alhamdulillah setakat ini pemeriksaan mendapati tiada apa-apa yang berlaku.
 
“Dalam tempoh ini ada sekitar 1,400 orang dari negara luar termasuk yang bekerja telah masuk melalui pelabuhan berkenaan, dan apabila dijalankan imbasan, mereka ini tidak dijangkiti virus,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, kehadiran pelancong dari negara China telah dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui beberapa pintu masuk utama.
 
“Pelancong-pelancong yang datang ke Terengganu melalui lapangan-lapangan terbang antarabangsa sama ada di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang akan diperiksa oleh KKM.
 
“Sebelum masuk ke Terengganu, mereka diperiksa di sana dahulu, ada pun yang masuk melalui sempadan negara, contohnya Thailand-Kelantan, kerajaan turut menjalankan pemeriksaan.
 
“Buat masa ini, di pihak kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan, kita sentiasa lakukan pantauan, langkah waspada kita tingkatkan,” tambah beliau.  
 
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berautoriti sebelum membuat apa-apa tindakan.
 
Untuk rekod, jumlah kematian akibat virus meningkat 26 hingga132 orang di China, manakala jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 5,974 kes.
 
Jumlah kes di China kini melebihi 5,327 kes Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh kira-kira 800 orang di seluruh dunia pada 2002-2003.