• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

COVID-19 : 87 Penghuni Madrasah Disyaki Dijangkiti

Alias Razak memaklumkan operasi menjejaki kontak rapat pesakit COVID-19 sedang berjalan.
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Seramai 87 penghuni Madrasah Kubang Bujuk di sini dirawat dan dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan yang bermula kelmarin itu dibuat ekoran seorang peserta Himpunan Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling singgah di madrasah berkenaan baru-baru ini.

“Kesemua penghuni itu adalah kontak rapat kepada tabligh terbabit, namun 87 orang ini masih diperiksa dan belum disahkan positif oleh pihak kesihatan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menjejaki kontak-kontak rapat suspek positif ini bagi membendung wabak ini tersebar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas COVID-19 di Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah Alias, hospital dan pusat yang dijadikan tempat kuarantin akan beroperasi seperti biasa untuk pesakit biasa, hanya wad-wad tertentu sahaja dibuka untuk kes COVID-19.
Semalam, Harian Metro melaporkan, madrasah berkenaan ditutup dan 330 pelajar dikuarantin selama 14 hari dalam pusat tersebut bermula Sabtu lalu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyebaran virus COVID-19 dengan menyediakan empat pusat kuarantin di negeri itu.

“Antaranya Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu sebanyak 58 katil, Hospital Hulu Terengganu 156 katil, Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh di daerah Kuala Nerus masing-masing 77 dan 44 katil,” ujarnya.

Tambahnya, cadangan untuk menangguhkan sementara operasi pusat hiburan seperti panggung wayang akan diteliti dan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Sekiranya tak ditutup, kita akan mohon supaya setiap pusat ini menyediakan ‘hand sanitizer’ secukupnya supaya wabak ini mampu kita tangani,” ujarnya.

Orang ramai tidak perlu panik sebaliknya perlu sentiasa menjaga kebersihan diri.


Tag: