• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

COVID-19: KKM Nasihatkan Peserta Ijtimak Tabligh Buat Pemeriksaan Kesihatan

Sebahagian peserta yang hadir ke “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur


KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menasihatkan mereka yang telah menghadiri “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020, segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19.

Ini berikutan survelan KKM, satu kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) telah dikesan dijangkiti COVID-19.

Menurut kenyataan tersebut, kes ke 131 disiasat dengan teliti iaitu seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang  mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan “ijtimak tabligh” selama tiga  hari.

Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 4 Mac 2020, sebelum kemudiannya mengalami sesak nafas pada 8 Mac 2020 dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama.

Kes ini kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac 2020 dan Ujian pengesanan COVID-19 yang diambil bagi kes ini telah disahkan positif pada 10 Mac 2020. Beliau sudah diasingkan dalam wad isolasi dan sedang menerima rawatan.

Berikutan dari kes ini, KKM menasihatkan mereka yang telah menghadiri perhimpunan tabligh itu sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC Negeri atau menghubungi Virtual HealthAdvisory (kolaborasi KKM bersama DoctorOnCall) melalui pautan di laman sesawang KKM, untuk nasihat lanjut.

Justeru itu, KKM juga menyeru agar semua yang telah menghadiri perhimpunan ini memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

Sementara itu, situasi jangkitan COVID-19 di Brunei, pihak International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei telah memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan COVID19 dikesan di negara itu mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan “ijtimak tabligh”.

Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia. Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing.

 Justeru itu, KKM juga ingin menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (massgathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.

Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan,dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan dan  individu yang bergejala dinasihatkan agar menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

Orang ramai juga tidak digalakkan tidak melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19; dan rakyat Malaysia yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.


Tag: