• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

COVID-19: MPKK 'Front Line' Masyarakat Dan Komuniti

 

 

 
Oleh : Akid Hafriz
 
KUALA TERENGGANU, 2 April – Dalam menghadapi wabak virus Corona (COVID-19) yang menular ketika ini, barisan hadapan atau ‘front line’ memainkan peranan besar dalam membantu rakyat dipelbagai peringkat.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, terdapat pelbagai peringkat yang dikategorikan sebagai barisan hadapan tetapi bagi sesebuah komuniti, masyarakat atau kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah barisan hadapan yang paling utama dalam usaha menghulurkan bantuan kepada rakyat.
 
"Mungkin kategori MPKK sebagai barisan hadapan ini berbeza dengan PDRM, ATM, petugas kesihatan mahupun kakitangan Kementerian Kesihatan seperti doktor dan jururawat.
 
"Namun, usaha mereka untuk menyalurkan bantuan, mengenal pasti golongan yang memerlukan serta menyampaikan maklumat kepada komuniti setempat mahupun kerajaan wajar dihargai," katanya melalui satu status di laman Facebooknya, semalam.
 
Justeru, beliau juga turut berharap agar masyarakat dapat sama-sama membantu pihak MPKK dalam usaha untuk menyalurkan bantuan kepada komuniti setempat terutamanya kepada golongan yang memerlukan.
 
Sementara itu, pihak Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk telah selesai mengagihkan bantuan Pakej Ransangan Terengganu Cakna Menangani Kesan COVID-19 bagi fasa ketiga melalui MPKK setempat.

 


Tag: