• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

COVID-19 : Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM




KUALA LUMPUR, 17 Mac - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan tersebut dibuat kerana kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.

Katanya, Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Justeru itu, Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi; pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

“Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac (semalam),” kata Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 pada Isnin malam.

Bagi Perintah Kawalan Pergerakan kedua, beliau berkata, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Katanya, bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau self quarantine selama 14 hari.

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti.

“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

“Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sedar rakyat di negara ini mungkin merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran.

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari (Selasa).

Perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. 

Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes sehingga semalam.Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.


Tag: