• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE

KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (PFUBM) menyasarkan menghasilkan kira-kira 4,000 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dalam tepoh terdekat.

Pengarah Projek Frontliner PPE Support Team Dr Noor Zaitun Yahaya, berkata sehingga kini 2,000 PPE berjaya dihasilkan bagi projek fasa pertama  dan telah diagihkan kepada pihak yang memerlukan, termasuk barisan hadapan di Kelantan dan Pahang.

Katanya, PFUBM bersedia menghasilkan lebih banyak PPE sekiranya mendapat permintaan, terutama  daripada negeri yang masih mencatatkan kes baharu penularan Covid-19.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk  Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dan  Majlis Dakwah Negara Negeri Terengganu (MDNT), apa yang dirancang itu mampu dilaksanakan.

“Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat, serta orang ramai,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas  Majlis Penyerahan 148 Set Isolasi kepada barisan hadapan, termasuk Menteri Besar,  Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor  UMT, Prof Nor Aieni  Mokhtar dan  Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Md Kamaru Al-Amin,

Katanya, individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia).

"Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh die-melkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017 – 9681102," katanya.