• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

COVID-19: 41 Pelajar SM Agama Setiu Positif

KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah (SM) Agama Setiu di Setiu disahkan positif COVID-19 hasil keputusan sampel kedua, setelah mereka dikuarantin 10 hari di asrama sekolah. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sehingga semalam hampir 50 peratus iaitu 99 orang dari 208 pelajar perempuan di asrama SM Agama Setiu telah dijangkiti virus tersebut.

Katanya, indek kes merupakan seorang guru perempuan yang merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Tok Has yang didaftarkan pada 3 Mei lalu.

“Bila dikuarantin lama di asrama terutama pada hari raya, hanya Allah jer tahu hati dan perasaan pelajar termasuk ibu bapa mereka.Mau meraung nya budak budak ini. Bukan sahaja pelajar yang 'menderita', pihak pengurusan sekolah malah ibu bapa akan 'menderita' sama.

"Saya sentiasa cakap bahawa Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama sangat sukar walaupun mereka mungkin tinggal tiga atau empat orang sebilik. Mereka bergaul rapat dan berkongsi segala galanya.

“ Sebab itu, virus Covid-19 mesti dihalang masuk ke sekolah bermula dari pintu masuk lagi terutama di sekolah-sekolah berasrama,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.

Justeru itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar sentiasa memastikan kawalan pencegahan yang ketat dan maksimum supaya kluster sama tidak berulang di masa depan.

Dalam perkembangan sama, satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di Besut semalam dan kematian terbaru ini menjadikan jumlah kematian  di Besut seramai 11 orang dengan 525 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh dua minggu Mei.

Kes kematian terbaru membabitkan wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak 100 yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan angin ahmar.

 

 


Tag: