• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

COVID-19 : Dua Angka Bukan Jaminan Ke Fasa 2, Namun...

KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Kes positif sebanyak dua angka setiap hari sejak dua minggu lalu bukan jaminan Pelan Pemulihan Negara fasa kedua dapat dikuatkuasakan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN), penguatkuasaan peralihan fasa dibuat berdasarkan perkembangan seluruh Malaysia.

"Kita tidak boleh keluar sebuah negeri, sebuah negeri, jika semua baik di peringkat nasional baru semua akan keluar daripada fasa  pertama ke fasa kedua.

"Namun, Terengganu dan beberapa buah negeri yang dapat mengawal penularan ini dengan baik sedang berunding di peringkat nasional supaya negeri-negeri yang telah mencapai target ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk keluar lebih awal daripada fasa 1.

"Jika dilihat daripada kriteria yang ditetapkan MKN untuk keluar daripada fasa pertama dijangka pada 1 Julai nanti, kes harian di peringkat nasional mestilah kurang daripada 4,000 kes sehari, pengisian katil di ICU kurang daripada 70 peratus dan peratus vaksinasi mesti lebih 10 peratus," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini, Terengganu telah mencapai kesemua kriteria itu iaitu kes harian kurang daripada 100, pengisian katil di ICU sekitar 30 peratus dan peratus vaksinasi yang telah lengkap dos kedua telah mencapai 10.31 peratus.

"Hal ini menunjukkan bahawa kita telah mencapai tahap yang dikehendaki. Diharapkan rakyat Terengganu terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Apabila memasuki fasa kedua, beberapa sektor ekonomi akan dibuka lebih luas antaranya kapasiti pekerja akan ditambah sehingga 80 peratus di premis serta beberapa sektor lain juga akan dibuka antaranya pembuatan simen dan peralatan elektronik.

"Hal ini akan memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut terutamanya para pelajar yang sedang menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah ketika ini untuk membaiki atau mendapatkan alat elektronik.

"Semua ini bergantung kepada kemampuan dan kerjasama kita semua untuk mengawal kes di seluruh negara agar dapat keluar dari fasa satu ke fasa kedua," ujar beliau.


Tag: