• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

COVID-19 : Kuala Terengganu, Dungun Kini Zon Merah

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini diisytihar sebagai zon merah susulan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh 14 hari lepas.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata, 16  daripada 27 kes jangkitan baharu yang direkodkan di negeri ini adalah dari daerah Kuala Terengganu.

"Sementara itu, daerah Dungun di sini berada dalam kedudukan kedua tertinggi dalam zon merah dengan 45 kes.

"Berikutan pertambahan tersebut ia menjadikan kes dalam rawatan melonjak kepada 197 orang berbanding 178 semalam," jelas JKNT.

Kenyataan juga menyebut, daripada 27 kes baru pada hari ini, lima kes adalah import B dan 22 kes penularan tempatan.

"Sehingga hari ini, JKNT telah merekodkan pertambahan lapan kes sembuh dan 27 kes baru COVID-19 menjadikan terdapat 197 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 572 kes. 

"Kesemua 197 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), PKRC Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan rekod mulai 7 Disember 2020 hingga 13 Januari 2021, terdapat 118 kes Import B (rentas negeri) yang telah dicatatkan di Terengganu.

"Setakat ini, kes-kes import B tersebut telah menghasilkan 59 kes penularan tempatan. 

"Selain daripada itu, terdapat 59 kes penularan tempatan disebabkan oleh pendedahan kepada kes positif negeri luar yang datang ke negeri ini.

"Oleh, itu bagi membendung penularan tempatan dan menjaga Zon Hijau di negeri ini, JKNT menggalakkan individu yang memasuki Terengganu hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan.

"Sementara itu, mereka yang telah menjalani ujian saringan di luar Terengganu dinasihatkan untuk menunggu sehingga keputusan ujian diperolehi sebelum membuat perjalanan ke negeri ini," tambah JKNT. 


Tag: