• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Tindakan rakyat Terengganu yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa dengan melakukan aktiviti lepak membawa padah apabila negeri itu terus mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak tiga angka hari ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jangkitan bertambah buruk dan berlaku dengan pantas selepas kebanyakkan aktiviti yang dilakukan disahkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi, sebentar tadi.

Menurut Nor Azimi, penganjuran majlis berbuka puasa melibatkan 20 individu turut menyumbang kepada peningkatan kes di Terengganu dan mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun.

"Kluster itu merekodkan 78 orang positif dan 496 orang kontak rapat dikesan setakat ini. Situasi kedua melibatkan majlis jenis sama di sebuah surau di Marang dengan 26 orang positif serta 283 orang kontak rapat," jelasnya.

Tegas Nor Azimi, beliau tidak menolak kemungkinan trend kes tiga digit akan terus berlaku esok akibat sikap rakyat sendiri.

"Sebagai contoh kes terbaru, pergi mesyuarat di Kuala Lumpur. Tidak buat penilaian risiko, masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring

"Berpuluh-puluh kisah yang disahkan tiada pematuhan SOP boleh dikongsi untuk diambik iktibar. SOP semua 'ke laut'. Sebab apa 'ke laut'. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu semua pihak serius, tidak pandang rendah terhadap SOP seperti mengadakan perbincangan menyemak kertas peperiksaan hingga mengakibatkan tiga guru positif.

“Semua pemimpin masyarakat daripada semua peringkat dan ketua jabatan perlu memastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat, anggota dan organisasi masing-masing,” rayu beliau.

Untuk rekod katanya, seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini.