• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

COVID-19 : Penggunaan Katil Hospital Terengganu Hampiri Maksimum

KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Terengganu dilaporkan antara beberapa negeri dengan kadar penggunaan katil hospital kerajaan bagi rawatan COVID-19 yang telah mencapai penggunaan maksimum.

Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sehingga hari ini peratusan penggunaan katil semasa berbanding kapasiti sebenar di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dalam negeri kini mencecah 76 peratus.

Jelasnya, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kuala Terengganu mempunyai kapasiti 162 katil dengan 88 daripadanya dipenuhi, diikuti Kem Wawasan di besut dengan 132 buah katil dipenuhi daripada jumlahnya iaitu 200 buah katil.

“Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering 999 buah katil diisi pesakit daripada 1,128 katil dan PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, dengan 150 katil dipenuhi daripada jumlah 305 katil,” katanya menerusi laman rasmi twitter NADMA.

Kerisauan tersebut turut dibangkitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyenaraikan Terengganu bersama negeri lain seperti Johor, Kelantan, dan Sarawak yang katilnya mencapai had maksimum 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan kaedah ‘repurpose’ serta mempertingkat kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti bagi memastikan jumlah katil untuk rawatan kes COVID-19 mencukupi,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam.

Terbaharu, PKRC kelima telah dibuka semalam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus yang menempatkan sebanyak 484 katil bagi menampung peningkatan pesakit virus.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, melihat trend peningkatan kes dalam negeri berkemungkinan memberi petanda katil PKRC sedia ada masih tidak mencukupi.

“Oleh itu, saya pohon semua rakyat Terengganu kekalkan kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita bukan menjadi salah seorang penghuni katil di PKRC itu,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.