• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 : SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Setiu Ditutup 14 Hari

KUALA TERENGGANU,30 April -Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Setiu, ditutup 14 hari bermula Rabu lepas hingga 11 Mei susulan kes COVID-19 yang dikesan di sekolah tersebut.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata terdapat 12 kes positif COVID-19 telah dikesan di sekolah berkenaan  melibatkan 11 pelajar dan seorang guru.

Katanya, penutupan itu bagi membolehkan membuat saringan kesihatan dan kerja-kerja membasmi kuman dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.

"Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.

"Sementara itu, semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan perlu menjalani ujian calitan dan proses kuarantin," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambah beliau lagi, amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mencegah penularan yang lebih besar di sekolah perlu diteruskan oleh semua guru.

"Guru juga kena sentiasa jaga jarak dengan pelajar termasuk ketika sesi 'tasmik' al-Quran kerana sudah ada kes jangkitan berlaku ketika sesi ini berjalan dan jumlahnya lebih daripada seorang," katanya.


Tag: