• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

COVID-19 : SMK Bukit Besar Ditutup 14 Hari

KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sekolah berkenaan ditutup selama 14 hari bermula Khamis lalu bagi pelaksanaan kawalan perebakan penyakit berjangkit.

Katanya, penutupan dilakukan setelah seorang guru dan pelajar sekolah itu telah disahkan dijangkiti Covid-19.

"Penutupan sekolah itu dilakukan mengikut Seksyen 18 (1), (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342).

"Kerja-kerja pembasmian kuman perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, proses sanitasi dan ujian saringan Covid-19 terhadap calon SPM dan guru telah  dilakukan. 

Semua calon SPM yang tinggal di asrama serta guru turut dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan tidak keluar daripada kawasan sekolah dalam tempoh ditetapkan.

Untuk rekod, sehingga kini, 16 sekolah yang kebanyakannya terletak di bandar raya ini telah diarahkan ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan penularan Covid-19 sejak 22 Januari lalu.


Tag: