• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

COVID-19 : 11 Kakitangan Kompleks Seri Iman Positif

KUALA TERENGGANU, 14 April - Enam premis di pusat pentadbiran Islam negeri, Kompleks Seri Iman ditutup sementara bagi proses nyahkuman selepas terdapat sebelas kes positif koronavirus (Covid-19) dalam kalangan kakitangannya.

Keenam-enam premis melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, enam premis berkenaan ditutup selama tiga hari bermula 14 hingga 16 April 2021.

"Perintah penutupan premis ini dilakukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembasmian kuman bagi mengawal perebakan penyakit berjangkit. 

"Ia berkuatkuasa dibawah Seksyen 18 (1) (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya semalam, Terengganu merekodkan satu kematian menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sebanyak 14 kes. 

Menurut kenyataan tersebut, sehingga Selasa, sebanyak tujuh kes discaj dan 13 kes baharu direkodkan menjadikan terdapat 177 kes Covid-19 aktif  dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,792 kes. 

"Kesemua 177 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa," katanya. 


Tag: