• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Cuaca Buruk, Lima Pemancing Tidak Pulang

KEMAMAN, 24 Mac - Sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan lima orang pemancing tidak dapat dihubungi sejak semalam, selepas keluar ke laut pada 22 Mac dan sepatutnya pulang pada hari ini.

Dikhuatiri bot mereka mengalami kerosakan berikutan cuaca perubahan monsun.

Keenam-enam mangsa yang berusia antara 19 hingga 29 tahun tinggal di Kampung Paya Berenjut dan Kampung Gong Pauh.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa semalam, sekitar jam 8.50 malam.

Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi carilamat (CARILAMAT) di laut dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset Maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.

Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Raya Kuala Kemaman dan bertemu dengan keluarga mangsa yang terlibat, hari ini.

"Saya mengharapkan agar seluruh keluarga mangsa dapat bersabar dan minta semua untuk mengadakan solat hajat. Saya juga akan meminta beberapa masjid dan surau untuk mengadakan solat hajat.

"Semoga pihak maritim dapat menemui kesemua mangsa dengan selamat dan membawa pulang seberapa segera," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.

 

 

 


Tag: