• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cucu Lahir Baru Dapat Lot Rumah

DUNGUN, 5 Oktober - "Cucu lahir baru dapat lot rumah," itulah luahan seorang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pinang Stesen dengan nada penuh kesyukuran setelah sekian lama menanti dengan penuh harapan akhirnya menjadi kenyataan.

Sulaiman Essa, 56 yang tinggal di Paya Kemudi berkata, dia pernah memohon tanah lot rumah pada tahun 1999 di mana anaknya yang sulong ketika itu berusia enam tahun.

"Sekarang dia dah kahwin dan mempunyai tiga orang anak.

"Tak kisahlah tanah itu jauh sikit daripada yang dulu, dulu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut tetapi sekarang di Pinang Stesen, " ujar ayah kepada empat orang anak itu. 

Suliman berkata demikian ketika ditemui wakil UPDI selepas Majlis Penyerahan Borang 5A dan Geran Tanah Bagi DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini. 

Di majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu, seramai 81 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Pinang Stesen yang merupakan peserta Terkilan RTB Tapak Rumah Padang Pulut menerima Borang 5A. 

Selain itu, 42 orang peserta RTB Tapak Rumah Kampung Batu Putih turut menerima borang berkenaan. 

Manakala Che Muhammad Che Pa, 65 yang tinggal di Jalan Lembah dalam DUN Sura bersyukur ke hadrat Allah setelah lama menunggu akhirnya dia mendapat balik tanah yang pernah dipohonnya sekian lama. 

"Saya juga berterima kasih kepada Cikgu Alias dan YB Cikgu Wan Hapandi yang banyak menolong sehingga saya dapat balik tanah, walaupun bukan di DUN Sura seperti sebelum ini tetapi di DUN Rantau Abang," ujarnya. 

Sementara itu, Alias berharap kepada yang baharu memohon dapat bersabar kerana prosesnya memakan masa.

"Mereka yang terima hari ini telah memohon sejak sekian lama, bukan baharu memohon, kerajaan Terengganu hendak beri kepada semua yang layak tanpa mengira pegangan politik," katanya.

 


Tag: