• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Cukuplah 18 Tahun Bergelumang Dengan Najis Dadah'

HULU TERENGGANU, 16 Oktober - “Cukuplah 18 tahun saya bergelumang dengan najis dadah," kata Zakri Ismail, 39, antara Orang Kena Pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah.

Zakri Ismail yang lebih mesra disapa Zack, berkata mujurlah sinar keinsafan itu hadir membuatkannya kembali ke pangkal jalan.

Dia wajar dijadikan contoh apabila  kini mencorak langkah mengusahakan ternakan lembu di kampung Peroh , Ajil, Terengganu.

Ketika menceritakan pengalamannya, Zakri berkata, dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berada di Tingkatan Empat kerana terpengaruh dengan rakan sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

Masih berbaki setahun untuk bebas dari pengawasan, Zakri bersyukur mempunyai keluarga terutama arwah ibu yang tidak berputus asa memberi sokongan kepadanya untuk kembali pulih dari penagihan dadah.

“Saya bukanlah pemuda yang nakal di kampung, namun mula terpengaruh untuk mengambil bahan terlarang itu secara serius apabila mula bekerja di Shah Alam apabila mula melepak bersama kawan kawan.

“Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah. Setiap minggu saya habiskan RM200 hingga RM300 untuk beli dadah sedangkan saya bukan orang senang. 

“Tidak cukup dengan itu, saya diberhentikan kerja walaupun sebenarnya saya menjadi antara pekerja cemerlang ketika itu. Apabila mengingat kembali semua itu, saya berasa amat malu dan menyesal,” katanya yang pernah ditahan polis dua kali.

Katanya, pengaruh rakan-rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berhenti, namun semuanya berubah selepas dia berada di bawah pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Hulu Terengganu untuk tempoh dua tahun.

Zakri berkata, dia mengenali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim ketika Pengerusi JKPD itu hadir setiap kali sesi kaunseling Agama bersama OKP.

“Ayah ( Ustaz Maliaman) berkongsi modal untuk diberikan kepada saya bagi memulakan penternakan.

“Allhamdullilah, syukur penternakan semakin maju dengan sokongan ayah dan saya sedang memperbesarkan perternakan ini,” katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.

“Program keusahawanan perlu diberikan dan peluang untuk golongan ini bagi melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan," ujarnya.